FOTO Hiasan
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PENJAWAT awam yang bertugas di tembok dan pintu sempadan Malaysia dan negara jiran berisiko tinggi untuk terdedah dalam gejala rasuah.

Pengarah Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya berkata, mengambil kira pendedahan rakaman aktiviti penyeludupan yang berlaku di hadapan anggota keselamatan negara di pintu dan tembok sempadan Malaysia - Thailand pada 2017 dan 2018 Oktober lalu oleh SPRM, pihaknya kini sudah mengambil langkah bersedia.

“Hasil pemantauan dan siasatan SPRM, kita dapati kebanyakan isu dan gejala rasuah di sempadan berkait rapat dengan aktiviti jenayah penyeludupan.

“Antara kes dan aktiviti penyeludupan yang sering dikaitkan dengan gejala rasuah adalah penyeludupan barangan bersubsidi negara seperti petrol dan minyak masak ke negara jiran.

“Jadi fokus SPRM ketika ini adalah untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa di sana supaya kedua-dua negara beroleh manfaat antara satu sama lain,” katanya.

Beliau ditemui pada sambutan Hari Anti Rasuah Kebangsaan 2019 bersama Suruhanjaya Anti Rasuah Thailand (NACC) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian hari ini.

Oktober lalu, SPRM mendedahkan beberapa klip video yang menayangkan anggota keselamatan di pintu sempadan seolah dirasuah apabila membiarkan aktiviti jenayah penyeludupan berlaku dihadapan anggota terbabit.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama dengan agensi di Thailand, pihaknya menyambut baik dan memandang positif kerjasama itu khususnya dalam membanteras jenayah rasuah.

“Kerjasama ini khusus dalam pertukaran maklumat antara satu sama lain berhubung aktiviti rasuah di sempadan antara kedua-dua negara.

“Jadi melalui sambutan ini, kita berharap kedua-dua negara dapat menjalinkan kerjasama dengan lebih erat dalam memastikan integriti antara penjawat awam dapat dijaga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 4:14 PM