GAMBAR HIASAN
Mohd Husni Mohd Noor


KEMENTERIAN Kesihatan memandangkan serius pengiklanan produk susu pisang yang membuat akuan dilarang sehingga mengelirukan pengguna.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Seksyen 17, Akta Makanan 1983 menetapkan larangan ke atas sesuatu iklan makanan termasuklah perkara yang dilarang pada label dan pernyataan yang boleh memperdayakan pengguna.

Menurutnya, sehingga Oktober lalu, pihaknya sudah menyita 2,135 produk bernilai RM60,494.53 menerusi operasi khas selepas didapati membuat akuan dilarang pada pengiklanan dan label.

“Penyataan seperti membantu merendahkan tekanan darah tinggi, membantu membuang toksik dari badan, meningkatkan metabolisme, mengawal selia pengeluaran insulin dan pergerakan oksigen, mengurangkan obesiti dan sebagainya adalah dilarang pada label dan iklan produk makanan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memandang serius penjualan dan pengiklanan produk yang membuat akuan dilarang serta menyebarkannya di media elektronik, media cetak, media sosial atau risalah.

“Pada Oktober lalu, kementerian menjalankan operasi khas bagi membanteras dan mengambil tindakan ke atas pengeluar dan produk makanan secara serentak di seluruh negara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dalam operasi itu, sejumlah 47 notis dengan keseluruhan nilai RM113,500 dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan di bawahnya.

Katanya, pihaknya sentiasa menjalankan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan produk makanan ke atas Akta Makanan 1983.

Beliau berkata, kementerian juga sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pentadbir laman sosial seperti Facebook dan Instagram bagi menyekat akses kepada laman web dan laman sosial mana-mana produk makanan yang didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Sehingga kini, sebanyak 103 laman web dan laman sosial sudah disekat,” katanya.

Katanya, Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit dan kegagalan mematuhi mana-mana peruntukan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya memberi amaran kepada semua penjual atau ejen produk makanan untuk menghentikan pengiklanan yang tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan tidak menyebarkannya di media sosial dan pengguna juga dinasihatkan untuk tidak terpedaya dengan iklan yang sedemikian.

Orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 6:45 PM