FOTO hiasan.
Mohd Sabran Md Sani


DUA individu ditahan susulan penemuan mayat wanita dipercayai dibunuh di rumahnya di Tingkat 2 Flat SEDC, Jalan Tembusu, Pasir Gudang, semalam.

Wanita tempatan berusia 51 tahun itu ditemui parah di dapur rumahnya pada 6.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, dua individu ditahan adalah lelaki berusia 25 tahun dan wanita 23 tahun.

“Kedua-duanya direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Sebelum itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam menerima maklumat mengenai mangsa yang parah dengan beberapa kesan luka di tangan dan badan dipercayai ditetak dengan senjata tajam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk dibedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 7:54 PM