Saiful Bahari dikesan polis untuk saksi kes culik dan melarikan seseorang.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang saksi penting dalam kes yang disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana kes menculik dan melarikan seseorang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur hari ini berkata, saksi terbabit dikenali sebagai Saiful Bahari Abdul Aziz yang berusia 41 tahun.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Saiful Bahari atau mengenalinya supaya menghubungi Inspektor Wan Ahmad Zakiman Wan Ismail dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman di talian 03-22666071 atau 013-7117025.

“Orang ramai juga boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat,”katanya.

Difahamkan, Saiful Bahari adalah saksi penting dalam kes kehilangan aktivis sosial Amri Che Mat yang hilang pada November 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 8:31 PM