Mohd Husni Mohd Noor


SIASATAN terhadap video tular murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin mendapati, ia dilakukan bertujuan memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab menyanyikan lagu kebangsaan itu.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, pihaknya sudah mendapatkan penjelasan berkaitan penularan video berkenaan yang difahamkan berlaku di sebuah sekolah di Negeri Sembilan.

“Hasil siasatan mendapati bahawa perlakuan tersebut hanya semasa pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah dan ia tidak dilakukan semasa mana-mana acara rasmi di sekolah berkenaan.

“Bagaimanapun, kementerian ingin mengingatkan kepada semua sekolah agar sentiasa menggunakan kebijaksanaan dalam melaksanakan perkara asas terhadap lambang negara termasuk lagu kebangsaan, Negaraku dalam PdP.

“Ia supaya tidak boleh disalah anggap oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kementerian Pendidikan juga mengingatkan dan menegaskan kepada semua sekolah bahawa lagu kebangsaan tidak boleh diubah atau dipinda dalam apa-apa

bentuk, sekalipun dalam mana-mana acara rasmi sekolah.

Sebaliknya, ia hendaklah dinyanyikan dengan pematuhan seperti termaktub Akta Lagu Kebangsaan 1968.

Sebelum ini, kementerian dalam kenyataan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar peraturan membabitkan Perlembagaan Negara Malaysia sama ada secara sengaja atau tidak.

Menerusi video berdurasi 1.22 minit itu kelihatan murid sekolah menyanyikan lagu Negaraku secara beramai-ramai di dalam kelas tetapi tidak diketahui lokasi dan bila rakaman itu dibuat.

Majoriti murid dalam klip berkenaan berbangsa Cina selain, seorang murid perempuan bertudung.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan akan dibuka susulan penularan video itu.

“Bagaimanapun melalui siasatan awal kita dapati video terbabit sudah lama diambil,” katanya.

Berita berkaitan

Polis siasat lagu Negaraku versi Mandarin

Isu Negaraku versi Mandarin: KPM siasat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 8:54 PM