Kekecohan yang berlaku di pintu masuk dewan Kongres Nasional AMK 2019 di MITC, Ayer Keroh di Melaka hari ini. Foto Rasul Azli Samad
Kekecohan yang berlaku di pintu masuk dewan Kongres Nasional AMK 2019 di MITC, Ayer Keroh di Melaka hari ini. Foto Rasul Azli Samad
Rizanizam Abdul Hamid

DUA lelaki ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kekecohan di Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua-dua mereka masing-masing berusia 29 dan 30 tahun adalah perwakilan parti dari Kuala Lumpur serta Klang, Selangor.

Menurutnya, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh yang turut mengakibatkan menyebabkan dua individu cedera.

"Kedua-dua yang cedera dalam kejadian itu juga perwakilan parti berusia lingkungan 20-an dengan seorang daripadanya mengalami luka di dahi kanan.

"Seorang lagi mangsa mengalami luka di bibir, sebelah kanan kepala dan belakang kepala dan kedua-dua mereka menerima rawatan pesakit luar di Hospital Melaka," katanya dalam kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

Beliau berkata, sehingga jam 8 malam ini, sebanyak tiga laporan polis diterima dengan satu daripadanya daripada bekas Pengerusi Tetap AMK Mizan Adli Mohd Noor.

Pagi tadi, satu kekecohan berlaku di pintu masuk dewan yang turut menyebabkan Mizan Adli yang dipecat daripada jawatannya pada 24 November lalu tidak dibenarkan masuk.

Pertikaman lidah bermula pada 8.30 pagi itu turut menyaksikan pergaduhan fizikal antara dua ahli.

Timbalan Ketua AMK Muhammad Hilman Idham pada sidang media petang hari ini mendakwa kekecohan berpunca daripada tindakan sabotaj terancang sekumpulan pemuda berbaju hitam.

Susulan insiden itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya mahu ahli yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan itu dipecat oleh Lembaga Disiplin parti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 11:01 PM