Muhammad Apendy Issahak


PEMANDU lori diberkas selepas menghalang penjawat awam menjalankan tugas ketika lori dipandunya ditahan polis untuk pemeriksaan di Jalan Pasir Putih - Lahat, berhampiran Bandar Lahat Baru, Jumaat lalu.

Kejadian berlaku 9.45 pagi dan video tindakan biadap lelaki berusia 33 tahun itu terhadap anggota polis yang menahan dan memeriksa dokumennya turut tular di media sosial sejak semalam.

Video berdurasi 2 minit 39 saat itu dirakam wanita dipercayai isteri pemandu lori yang menunjukkan pasangan itu menghalang tugas polis dengan tidak bekerjasama memberikan lesen memandu selain memprovokasi mengatakan anggota polis ingin meminta wang mereka.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pemandu lori itu ditahan selepas anggota polis yang terbabit dalam kes itu membuat laporan susulan kejadian yang berlaku.

“Menurut anggota polis berkenaan, ketika dia dalam perjalanan pulang dari Mesyuarat Mingguan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, terserempak dengan lori dinaiki lelaki dan wanita yang membawa muatan rangka sebuah kereta.

“Ketika ditahan pemandu itu bersama penumpang wanita tidak bekerjasama dan membuat provokasi seperti menipu tidak membawa kad pengenalan dan menuduh pengadu mahu meminta wang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, anggota polis itu kemudian meminta lelaki terbabit ke Balai Polis Lahat untuk diberikan saman atas kesalahan membawa barangan lebih had muatan.

“Lelaki itu kemudian memberikan kad pengenalan dan memberitahu mahu buat laporan anggota polis itu curi kad pengenalannya sebelum memandu lorinya dan meninggalkan tempat kejadian.

“Susulan laporan dibuat anggota polis mengenai kejadian itu, Pegawai Penyiasat menghubungi lelaki itu berdasarkan maklumat kad pengenalan yang ditinggalkan namun lelaki itu tidak mengaku melarikan diri dan mengatakan tidak percaya dengan pegawai itu kerana takut dianiaya,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu juga memaklumkan akan datang bersama peguam untuk memberi keterangan.

“Pemandu itu kemudian membuat aduan di Pejabat Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perak selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bercham, mengatakan tidak puas hati tindakan polis terhadapnya.

“Lelaki itu kemudian dikesan dan ditahan untuk permohonan reman, manakala ujian saringan awal air kencingnya didapati negatif selain mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 11:26 AM
GAMBAR Hiasan