Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SERAMAI 549,000 pemegang kad orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara berpeluang menikmati tambang percuma menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, tawaran dua hari sehingga esok diberikan kepada pengguna OKU dan seorang pengiring yang menggunakan pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel serta Transit Aliran Massa (MRT).

“OKU dan pengiringnya perlu menggunakan kad konsesi MyRapid TnG untuk mendapatkan faedah ini.

“Program dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini julung kali diadakan sempena Hari OKU Kebangsaan 2019.

“Ia bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa semua pihak bertanggungjawab menjaga kebajikan OKU,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program Tambang Percuma Pengangkutan Kendalian Prasarana Bhd di Stesen Pasar Seni, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, walaupun program ini diadakan dua hari tetapi boleh dianggap sebagai satu pengiktirafan kepada golongan OKU oleh syarikat korporat (Prasarana) dan kerajaan yang sentiasa prihatin untuk membantu mereka.

Selain itu, Hannah berkata, Prasarana turut menyediakan insentif kepada pengguna OKU yang mana OKU berdaftar dan mempunyai kad konsesi mendapat potongan tambang 50 peratus apabila menggunakan mana-mana kemudahan pengangkutan disediakan syarikat berkenaan.

Sementara itu, OKU kerdil Dr Ruziah Ghazali berkata, pemberian tambang percuma dan potongan tambang 50 peratus kepada OKU banyak membantu mengurangkan kos hidup golongan berkenaan yang berpendapatan rendah.

“Ini kerana golongan OKU perlu menanggung kos perubatan berkala disebabkan masalah kesihatan.

“Saya berharap penumpang lebih prihatin terhadap golongan OKU semasa menggunakan perkhidmatan awam Prasarana dengan memberikan tempat duduk disebabkan keadaan fizikal mereka tidak boleh berdiri lama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 2:08 PM
Hannah (tiga dari kanan) beramah mesrå bersama OKU ketika menaiki LRT hari ini. FOTO Syarafiq Abd Samad