KELIBAT gajah yang dinamakan Ujang dirakam penduduk kampung. FOTO Ihsan pembaca.
Mary Victoria Dass


KEHADIRAN gajah dikenali penduduk sebagai Ujang mengejutkan tetamu majlis perkahwinan di Dewan Semerah Padi di Kampung Lukut, Kota Tinggi, semalam.

Penduduk, Mohd Yazid Ayub, 49, berkata, kelibat Ujang melintas di pekarangan dewan itu pada 11 malam, sekali gus menarik perhatian tetamu masih berkumpul.

Bagaimanapun, katanya, tiada kejadian tidak diingini berlaku kerana gajah itu sudah dianggap ‘biasa’ dengan penduduk.

“Ia memang tidak asing dengan penduduk kerana kerap juga kami terserempak dengannya dan kami menamakannya Ujang.

“Ujang tak pernah mengganggu penduduk dan kami cam ia gajah sama berdasarkan satu gadingnya yang patah separuh,” katanya.

Mohd Yazid berkata, ada tetamu pada majlis itu sempat merakam gambar Ujang dan memuat naik di media sosial.

Katanya, dianggarkan puluhan gajah berada di kawasan hutan berhampiran perkampungan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 2:43 PM