Ahmad Amsyar (kiri) bersama datuknya yang maut dalam kemalangan malam tadi. FOTO Ihsan Keluarga
Togi Marzuki


“JANGAN tinggal solat,” demikian pesan terakhir Masdar Ishak, 85, kepada cucunya Ahmad Amsyar Zuhdi, 15, beberapa jam sebelum dia maut dalam kemalangan di Kilometer 2.7 Jalan Seri Bunian Tenggayun, Pontian malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa yang berjalan kaki selepas selesai menunaikan solat Isyak di Surau Ghazali di sini dilanggar Toyota Wish dari arah Kampung Seri Bunian ke Kampung Tenggayun.

Kemalangan itu mengakibatkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah di bahagian kepala.

Ahmad Amsyar berkata, pesanan itu diberikan arwah datuknya yang mempunyai lapan anak dan 45 cucu sebelum bertolak ke surau dengan jarak kira-kira 200 meter untuk menunaikan solat Isyak.

“Sebelum itu kami sekeluarga termasuk arwah datuk menjamu selera dan makan malam bersama.

“Lebih mengharukan, arwah mengambilkan lauk untuk saya dan masa sama berpesan supaya menjadi insan yang baik, jangan tinggal solat dan hormat ibu bapa, ” katanya ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian.

Katanya, dia tidak menyangka pesanan ketika menjamu selera di rumah itu menjadi petanda arwah datuknya meninggalkan mereka.

Menurutnya, arwah datuknya sering menggalakkan semua cucunya solat berjemaah di masjid atau surau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mustafa Bakri Salleh ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati sebuah kereta dari arah Pekan Nanas menghala ke Pontian melanggar mangsa yang hendak balik ke rumah.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Pontian untuk bedah siasat.

“Pemandu Toyota Wish tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 3:38 PM