SHEIKH Mokhsin mencuba simulator helikopter di tapak pameran Weststar Group selepas merasmikan Pesta Kor Risik Diraja di Serdang. FOTO Mustaffa Kamal.
Khairul Najib Asarulah Khan


SEBARANG isu yang boleh membawa ancaman kepada negara turut dipantau Kor Risik Diraja (KRD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) Leftenan Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan berkata, KRD juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tujuan itu.

Katanya, anggota digerakkan untuk memantau sebarang risiko pada setiap hari tanpa mengira isu, termasuk dikaitkan dengan komunisme.

“Buat masa ini, keadaan terkawal dan kita meminta masyarakat menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Kita harap tiada elemen luar yang mensensasikan lagi isu yang boleh mengancam keamanan, secara langsung menaikkan kemarahan rakyat,” katanya.

Beliau ditemui pada perasmian Karnival Pesta Kor Risik Diraja di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, hari ini.

Mengulas lanjut, Sheikh Mokhsin berkata, dalam memastikan kedaulatan negara terpelihara, KRD dipersiapkan untuk menghadapi sebarang bentuk pembaharuan dan transformasi ancaman.

Katanya, ia termasuk keganasan secara siber yang jadi sebahagian ancaman.

“Dengan itu, kita dalam usaha melengkapkan Kor Risik Diraja dengan peralatan siber yang canggih dan lebih kehadapan setanding negara maju.

“Ia juga mendapat maklum balas positif Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 3:49 PM