Polis mencari lapan lelaki berhubung kekecohan pada Kongres Nasional AMK 2019 di semalam.
Rizanizam Abdul Hamid


POLIS mengenalpasti lapan lelaki dan meminta mereka tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Melaka semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, mereka adalah ahli AMK yang memakai baju biru dan hitam iaitu kumpulan yang terbabit dalam pergaduhan di lokasi berlangsungnya kongres itu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Menurutnya, siasatan awal mendapati, pergaduhan pertama antara kedua-dua kumpulan tercetus pada 8.25 pagi ketika pihak baju biru cuba memasuki dewan kongres AMK tetapi dihalang ahli AMK yang memakai baju hitam.

“Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati baju biru yang kemudian laporan polis dibuat di Balai Polis Ayer Keroh.

“Kekecohan kedua tercetus pada 12.30 tengah hari ketika pengadu bertugas dimaklumkan terdapat rakan setugas dipukul kumpulan baju biru tetapi pengadu tidak nampak atau tidak kenal siapa yang dipukul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mat Kasim berkata, pengadu kemudian menghampiri baju biru untuk bertanyakan hal itu tetapi dipukul beramai-ramai oleh kumpulan baju biru.

“Kejadian itu berlarutan sehingga ke luar bangunan yang mana pengadu masih tidak puas hati selepas dipukul dan mengamuk sehingga berlaku rusuhan serta pertengkaran.

“Ketika rusuhan, ada segelintir pihak baju biru dan baju hitam cuba meleraikan pertengkaran sebelum tiba-tiba belakang kepala pengadu dihentak dengan objek keras dan rakan pengadu berbaju biru juga terkena objek sama,” katanya.

Mat Kasim berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata yang boleh membawa hukuman sehingga lima tahun penjara atau denda atau kedua-duanya.

Susulan kejadian, polis menahan dua lelaki berusia 20 dan 30-an yang direman dua hari untuk siasatan lanjut.

“Salah seorang suspek turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah,” katanya.

Menurutnya, polis turut meminta lapan individu yang dikesan melalui gambar ketika rusuhan tampil di IPD Melaka Tengah bagi membantu siasatan.

“Saya berharap, semua yang terbabit dalam rusuhan semalam tampil dan menasihatkan semua peserta persidangan supaya lebih berdisiplin dan profesional ketika menghadiri majlis,” katanya.

Berita berkaitan

Pecat siapa buat kecoh - Anwar

Kecoh lagi...

Boleh pecat jika sabotaj

Baju Melayu punya pasal [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 3:58 PM