Tetamu kehormat bergambar bersama tetamu pada majlis perkongsian strategik antara Yayasan BAT Malaysia dan Yayasan MyKasih. FOTO Mustaffa Kamal
Tetamu kehormat bergambar bersama tetamu pada majlis perkongsian strategik antara Yayasan BAT Malaysia dan Yayasan MyKasih. FOTO Mustaffa Kamal
Amir Abd Hamid


MENGHIDAP pelbagai penyakit termasuk diabetes, buah pinggang dan jantung hingga terpaksa menggunakan kerusi roda sejak tiga tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan Megat Johari Megat Latiff, 52, tidak mampu lagi bekerja menyara isteri, Mariam Kassim, 46, dan anaknya.

Dia bersyukur apabila terpilih antara 52 keluarga penerima bantuan Yayasan British American Tobacco (Malaysia) Berhad (Yayasan BAT Malaysia) dan Yayasan MyKasih dalam majlis perkongsian strategik antara dua badan amal itu bagi membantu orang susah.

“Bantuan diterima ini dapat meringankan beban saya sekeluarga terutama selepas saya tidak mampu lagi bekerja mencari rezeki. Akibat diabetes, penglihatan saya ketika ini juga semakin terhad.

“Isteri yang bekerja sambilan di kedai makan dengan gaji RM900 sebulan terpaksa mengambil alih tugas saya mencari rezeki,” katanya yang mempunyai tiga anak iaitu Puteri Nurul Najihah, 16, Puteri Najian Nazirah, 15, dan Megat Naim Najmuddin, 11.

Dia yang menetap di Sungai Ramal Dalam, Bangi ditemui selepas majlis itu.

Turut hadir Pengerusi BAT Malaysia Tan Sri Aseh Che Mat dan Timbalan Pengerusi Yayasan MyKasih Jeffrey Gerard Perera.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong Wong Siew Ki dan Pengarah Urusan BAT Malaysia, Erik Stoel.

Erik (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Jeffrey (dua dari kiri) sambil diperhatikan Dr Aseh (kiri) dan Wong. FOTO Mustaffa Kamal
Erik (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Jeffrey (dua dari kiri) sambil diperhatikan Dr Aseh (kiri) dan Wong. FOTO Mustaffa Kamal

Sementara itu, Aseh dalam ucapannya berkata, program itu sebagai memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap orang yang memerlukan tanpa batasan agama dan kaum menerusi platform BAT Malaysia Penglibatan Sosial, Pemberdayaan dan Pembangunan yang juga dikenali sebagai BATM SEED.

“Setiap keluarga yang menerima bantuan ini dipilih berdasarkan keperluan mereka. Kami berharap kolaborasi terjalin bersama MyKasih akan berpanjangan untuk tahun seterusnya.

“BATM juga sedia menjadi sukarelawan dengan sasaran memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Dalam majlis yang diadakan di Pasar Besar Econsave di Bangi itu hari ini, 52 keluarga penerima bantuan turut diberikan wang RM120 bagi membeli barangan keperluan di pasar raya berkenaan selain bantuan bulanan bermula November tahun ini hingga November tahun depan berjumlah keseluruhan RM50,000.

Yayasan BAT Malaysia melalui Yayasan MyKasih juga akan menganjurkan program sama di beberapa lokasi lain seluruh negara yang turut membabitkan sukarelawan di kalangan kakitangan BAT Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 5:49 PM