LAPORAN portal Harian Metro
Mohd Azam Shah Yaacob


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Muhammad Yusoff Rawther susulan dakwaan dirinya dicabul Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, Muhammad Yusoff hari ini membuat laporan polis serta menyerahkan akuan bersumpah (SD) yang mendakwa dia dicabul oleh bekas majikannya itu.

Katanya, laporan itu dibuat Muhammad Yusoff di Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur pagi tadi.

“Buat masa ini polis belum membuka sebarang kertas siasatan susulan laporan dibuat Muhammad Yusoff sebaliknya akan memanggilnya semula bagi dirakamkan percakapan.

“Hanya selepas percakapannya direkodkan, barulah kita akan melihat sebarang peruntukan undang-undang yang sesuai bagi menyiasat perkara itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat sebaik memperoleh maklumat daripada Muhammad Yusoff.

Hari ini, Muhammad Yusoff Rawther yang juga bekas pegawai penyelidik kepada Anwar hadir membuat laporan supaya polis menyiasat dakwaannya sekali gus membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap Anwar.

Menerusi laporan dibuat itu, Muhammad Yusoff menjelaskan dia bimbang dengan keselamatan dirinya yang diancam pihak tertentu.

Sementara itu, Ketua Polis Sentul S Shanmugamoorthy ketika dihubungi mengesahkan laporan dibuat Muhammad Yusoff.

“Ya, saya boleh sahkan dia membuat laporan polis yang menyebut dia mahu polis siasat akuan berkanunnya.

“Kes ini disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Bukit Aman,” katanya ringkas.

Rabu lalu, Muhammad Yusoff membuat perakuan bersumpah mendakwa dicabul presiden PKR di Petaling Jaya, 2 Oktober lalu.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Anwar yang mendakwa sedang berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada tarikh itu.

Berita berkaitan

'Ini muslihat untuk jatuhkan imej saya'

Anwar lapor polis

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 6:42 PM