Ahmad Zahid ketika sesi Penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2019. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Firdaus Ibrahim


KONVENSYEN Muafakat Nasional Peringkat Kebangsaan dijadual berlangsung sebelum Mei 2020.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ucapan penggulungannya sempena Perhimpunan Agung UMNO 2019 berkata, konvensyen itu akan dirasmikan pelaksanaannya sebelum Mei tahun hadapan.

“Muafakat Nasional bukan hanya ceramah biasa. Ia sudah berjalan dengan baik di peringkat negeri di seluruh negara. Saya amat berpuas hati.

“Saya ingatkan diri sendiri, esok adalah hari perhimpunan aman membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang kumpulkan lebih 100,000 peserta pada tahun lalu.

“Daripada kefahaman itulah terbentuknya Muafakat Nasional. Jika semangat ini dikekalkan, jika kefahaman dapat disuburkan, Insya-Allah kawan-kawan, PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15)... Putrajaya jadi milik kita,” katanya.

Menurutnya, dia menasihatkan perwakilan supaya tidak diperdaya dengan khabar angin yang disebarkan di media sosial berkaitan pembentukan kerajaan pintu belakang, termasuklah dakwaan mengatakan ahli parlimen UMNO akan melompat parti.

“Saya sudah berjumpa dengan semua ahli parlimen UMNO, kita semua sepakat dan berikrar hanya akan membentuk kerajaan melalui pintu hadapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zahid menggesa semua ahli parlimen dan perwakilan UMNO untuk bersedia bagi menghadapi pilihan raya kecil Kimanis.

“Semua perwakilan dan ahli parlimen akan membantu UMNO Sabah untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 7:16 PM