MOHAMAD Sabu ketika sidang media pada Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara. FOTO Saddam Yusoff
Mohd Hilmie Hussin


“SAYA sedia pegang jawatan lebih rendah, tapi mereka mahu saya terus memegang jawatan ini,” kata Presiden Parti Amanah (AMANAH), Mohamad Sabu.

Mohamad yang lebih dikenali sebagat Mat Sabu berkata, beliau menerima dengan hati terbuka terhadap keputusan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu yang meletakkan Menteri Pertahanan terbabit di kedudukan ketujuh.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Nasional AMANAH 2019 di Shah Alam, hari ini.

Keputusan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu bagi sesi 2019-2022 menyaksikan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berada di kedudukan pertama dengan 786 undi, diikuti Datuk Mahfuz Omar (780), Datuk Seri Salahudin Ayub (765), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (755).

Ia diikuti Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (725), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (687) dan Mohamad Sabu (681).

Sementara itu, Naib Presiden 1 AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, bilangan undi yang diterima Mohamad Sabu itu bukan isu besar.

“Kami yang mengekalkan beliau. Kami semua setuju kekalkan beliau sebagai presiden kerana beliau seorang yang berpengalaman dan berjaya memimpin parti dengan baik.

“Jumlah undi diterimanya juga masih meletakkannya pada kedudukan undi popular,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 7:59 PM