PENDUDUK yang terjejas akibat banjir di tebing sungai Kampung Pulau Gagak, Tumpat. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail


CUACA cerah hari ini menyumbang kepada penurunan mendadak jumlah mangsa banjir di Kelantan kepada hanya 1,733 orang berbanding 4,752 orang pagi ini.

Sehingga 6 petang hari ini, semua mangsa banjir membabitkan 643 keluarga ditempatkan sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) Pasir Mas dan Tumpat.

Jumlah ini dijangka akan terus berkurangan berikutan ramalan cuaca dilaporkan cerah sehingga esok.

Berdasarkan info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa di Pasir Mas turun kepada hanya 168 orang membabitkan 85 keluarga berbanding 2,544 orang pagi ini.

Daripada tujuh PPS yang beroperasi pagi ini, kini hanya tiga yang masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, SK Tok Deh dan Sekolah Menengah Agama Pohon Buluh.

Di Tumpat, seramai 1,565 orang membabitkan 558 keluarga ditempatkan di enam PPS.

Sementara itu, paras Sungai Golok di Rantau Panjang berada di paras amaran iaitu 8.62 meter berbanding 8.87 meter pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 9:54 PM