SERAMAI 61 pasangan pengantin baharu diraikan pada Majlis Malam Berinai Walimatul Urus Rahmah Wilayah Persekutuan di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, malam ini.

Majlis penuh berseri yang sangat bermakna buat pasangan pengantin itu disempurnakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith.

Eddin Syazlee ketika ditemui media berkata, majlis itu suatu inisiatif cukup bermakna dalam memberi tumpuan untuk sama-sama menjaga kepentingan institusi keluarga bermula daripada perkahwinan.

Menurutnya, ia satu daripada pendekatan yang sangat bermakna daripada kerajaan dan badan terbabit untuk mengelakkan masalah yang timbul, contohnya masalah sosial akibat daripada kegagalan mendirikan rumah tangga.

“Ini juga satu kesempatan kita beri kepada semua pasangan untuk melangsungkan perkahwinan dengan hampir semua kos dibantu, ditanggung dengan tumpuan diberikan kepada golongan asnaf dan berpendapatan rendah, sebagai permulaan yang cukup bermakna.

“Dengan cara ini pasangan ini dapat memulakan kehidupan baru sebagai suami isteri dengan tidak dibebankan dengan jumlah beban hutang yang terlampau besar sehingga boleh menjejaskan kedudukan kewangan mereka di kemudian hari.

“Kita doakan semoga semua pengantin ini dapat menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri dan akhirnya meneruskan hubungan suami isteri ini sehingga ke akhir hayat,” katanya yang turut berterima kasih kepada semua pihak menjayakan majlis berkenaan.

Majlis itu membabitkan pasangan daripada golongan asnaf fakir miskin B40 dan mualaf sekitar Wilayah Persekutuan bagi memberi peluang kepada mereka merasai kemeriahan dan keseronokan melangsungkan perkahwinan.

Ia dijayakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pertubuhan Amal dan Sukarelawan Batu (PASB), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Majlis persandingan pasangan itu akan berlangsung pagi esok, bermula dengan acara berarak masuk diiringi paluan kompang yang disambut meriah kira-kira 10,000 tetamu.

Eddin Syazlee berkata, pihaknya berharap semua pihak yang terbabit dalam menjayakan majlis itu dapat menjadikannya sebagai program tahunan.

“Tahun hadapan kita berharap lebih ramai lagi pihak yang akan membabitkan diri dan membantu untuk menjayakan program yang bermakna ini,” katanya.

Ditanya sama ada majlis itu boleh menjadi produk pelancongan memandangkan ia diadakan di Dataran Merdeka iaitu lokasi tumpuan pelancong, beliau berkata, sudah tentu.

“Saya secara peribadi berpendapat program sebegini sepatutnya dari awal lagi kita sokong.

“Kita dalam program ini cukup bermakna juga golongan mualaf yang turut sama melangsungkan perkahwinan.

“Mereka melihat ini suatu perkara baru kepada mereka dan mereka melihat betapa indahnya umat Islam meraikan, (dan) menerima kedatangan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Disember 2019 @ 11:50 PM
SEBAHAGIAN ahli keluarga dan pengantin yang yang diraikan pada Majlis Walimatulurus Rahmah Wilayah Persekutuan. FOTO Aswadi Alias