KEADAAN kawasan terjejas di kampung berkenaan. FOTO Ihsan Zakaria Yusoff.
Hazira Ahmad Zaidi


LEBIH 100 penduduk di Kampung Air Kayan, Jedok, di Tanah Merah, bimbang apabila kebun dan penempatan mereka diganggu gajah liar, sejak dua minggu lalu.

Difahamkan, seekor gajah jantan dari hutan berhampiran berkeliaran di kawasan kampung berkenaan untuk mencari makanan.

Penduduk, Zakaria Yusoff, 50, berkata, situasi itu sudah dialami penduduk kampung berkenaan sejak lebih lima tahun lalu, namun masih belum ada jalan penyelesaiannya.

“Kali terakhir gajah ini masuk dan memusnahkan tanaman penduduk pada November 2017 sehingga kami terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM10,000 apabila tanaman kelapa dan pisang dirosakkan.

“Bagaimanapun, dua minggu lalu, kemungkinan gajah sama datang kembali dan merosakkan tanaman penduduk menyebabkan kami sekali lagi perlu menanggung kerugian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kebiasaannya, haiwan itu akan datang pada tengah malam sehingga awal pagi.

“Banyak tanaman penduduk terutama pisang dan kelapa rosak. Kehadiran gajah ini menyebabkan penduduk menjadi trauma kerana turut bimbangkan keselamatan keluarga,” katanya.

Katanya, pihaknya sudah memaklumkan kejadian ini kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

“Untuk sementara waktu, kami menghalau gajah itu dengan menggunakan mercun bola,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 10:03 AM