DATUK Seri Anwar Ibrahim (tengah) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (empat dari kiri) menyanyi lagu 'Teman Sejati' bersama penyanyi, Yasin Sulaiman (tiga dari kanan) pada Kongres Nasional PKR 2019. FOTO Khairunisah Lokman
Rizanizam Abdul Hamid


LAGU nasyid berjudul Teman Sejati bergema pada pembukaan hari sesi terakhir Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Melaka, hari ini.

Muzik dendangan kumpulan nasyid, Brothers sekitar 1997 itu dinyanyikan Yasin Sulaiman yang sebelum itu turut menyanyikan dua buah lagu berjudul Satu Perjuangan dan Reformasi.

Suasana keakraban jelas terpancar pada wajah 880 perwakilan yang hadir yang turut menyalakan lampu pada telefon bimbit sambil melambai-lambai ke arah pentas mengikut alunan muzik.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian naik ke pentas menyertai beberapa pemimpin parti menyanyikan lagu berkenaan.

Turut sama, Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) serta perwakilan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 10:10 AM