Mohd Azam Shah Yaacob


KELUARGA rakyat Malaysia terbabit kemalangan di Kaikoura, New Zealand selamat tiba di Christchurch, hari ini dan dibawa ke Hospital Christchurch bagi melakukan pengesahan identiti.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di New Zealand, Nur Izzah Wong berkata, keluarga mangsa tiba di Christchurch pagi tadi dan turut dibawa melawat seorang lagi anggota keluarga mereka yang parah serta mendapatkan rawatan di hopital berkenaan.

“Mangsa paling muda terbabit kemalangan itu pula kini dirawat di Hospital Wellington dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia kini masih memantau keadaannya sementara menunggu kedatangan ahli keluarganya hari ini.

“Bagaimanapun, ahli keluarga kepada mangsa yang tiba dari Malaysia pagi tadi sudah dibawa melawat mangsa di Hospital Christchurch terlebih dahulu termasuk bagi melakukan pengecaman identiti terhadap mangsa yang meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, beliau turut menafikan bahawa seorang mangsa cedera sudah meninggal dunia dan jumlah kematian masih kekal tiga orang.

Kelmarin, tiga rakyat Malaysia meninggal dunia manakala dua lagi parah selepas terbabit dalam kemalangan maut ketika bercuti di negara berkenaan.

Mangsa yang maut adalah Adanan Jemain, 49; Dr Rumihati Abd Hamid, 49; dan seorang anak mereka Nuraleeyah Maisarah Arifah, 12, manakala mangsa cedera adalah Nur Arifah, 1; serta Nur Irfan, 15.

Mereka sekeluarga yang sedang bercuti menaiki kereta sewa sebelum terbabit kemalangan dengan lori di Lebuhraya Negeri 1, Kaikoura, 3.10 petang Jumaat waktu tempatan (8.10 malam waktu Malaysia).

Berita berkaitan:

  • Rumihati adalah doktor kami [METROTV]
  • Mahu kebumi 3 beranak di Christchurch
  • Wisma Putra sah mangsa sekeluarga
  • 3 warga Malaysia maut kemalangan di New Zealand
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 11:23 AM