Rizanizam Abdul Hamid


ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) mendedahkan satu penularan melalui WhatsApp yang mengarahkan 30 individu mencetuskan kekecohan undi tidak percaya terhadap Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada hari sesi terakhir Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, hari ini.

Ia didedahkan oleh Akmal Nasrullah di hadapan 880 perwakilan pada ucapan penggulungannya di dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Menurutnya, beliau membaca kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp itu daripada seorang pemberi maklumat yang datang bertemunya semalam.

“Saya agak terkejut kerana semalam didatangi seorang pemberi maklumat mengenai ada usaha merancang keganasan dan terdapat bukti melalui pesanan WhatsApp berbunyi; Satu lagi, aku nak 30 orang hard core untuk securiti masa kongres bawa Tony dan Syamil sekali, kunci pintu dewan dan buat undi tak percaya kepada Akmal. Tapi kena susun betul-betul, aku nak ‘hard core’ tempur punya.”

“Siapa yang hantar mesej ini? Siapa yang nak rosakkan dan burukkan parti kita? Samseng ini bukan budaya kita,” katanya menerima tepukan sokongan daripada perwakilan.

Bercakap lanjut, Akmal Nasrullah berkata, beliau akan menyerahkan bukti pesanan Whatsapp itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

“Jika benar ada orang yang merekrut gengster untuk kacau AMK, wajib kita pecat serta-merta dan siasat di bawah Kanun Keseksaan,” katanya.

Jumaat lalu, satu insiden kekecohan berlaku pada Kongres Nasional AMK di pintu masuk dewan kongres AMK yang turut menyaksikan pergaduhan fizikal antara dua ahli.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham pada sidang media petang semalam mendakwa kekecohan berpunca daripada tindakan sabotaj terancang sekumpulan pemuda berbaju hitam.

Susulan insiden itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya mahu ahli yang bertanggungjawab mencetuskan kekecohan itu dipecat Lembaga Disiplin parti.

Semalam, Ketua Polis Melaka, Datuk Mat Kasim Karim berkata, mengesahkan polis menahan reman dua lelaki berusia 20 dan 30-an untuk siasatan lanjut.

Polis turut mengenal pasti lapan lelaki dan meminta mereka segera tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan itu.

Berita berkaitan

Azmin dan 22 MPP keluar dewan [METROTV]

Di mana Azmin?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 11:37 AM
AKMAL Nasrullah ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Keadilan ke-14. FOTO Rasul Azli Samad