PETIKAN rakaman CCTV menunjukkan kumpulan lelaki dan wanita yang dipercayai mengambil beg sandang. FOTO ihsan Yang Syaq Yee
Raja Noraina Raja Rahim


“BEG itu sangat bermakna buat saya, sebab itu saya sanggup tawarkan ganjaran RM300 kepada individu yang dapat pulangkan semula beg berkenaan,” kata Yang Syaq Yee, 19.

Penuntut kolej swasta dari Terengganu itu berkata, beg sandangnya tertinggal di pasar raya di Taman Oakland, Seremban, 4 Disember lalu dan dipercayai diambil individu lain.

Syaq Yee berkata, dia bercuti di Seremban bersama rakan dan berkunjung ke pasar raya berkenaan pada 4.30 petang hari kejadian.

“Ketika berjalan-jalan dengan rakan di pasar raya itu saya tertinggal beg sandang di bahagian permainan kanak-kanak.

“Selepas beberapa minit, saya sedar beg tiada lalu pergi semula ke bahagian permainan kanak-kanak itu tetapi malangnya beg saya sudah tiada,” katanya ketika dihubungi di Seremban, hari ini.

Syaq Yee berkata, dia membuat aduan kepada pihak pengurusan pasar raya dan dibenarkan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Berdasarkan rakaman CCTV, terdapat beberapa lelaki dan wanita dewasa berada di bahagian permainan kanak-kanak mengambil beg sandang saya.

“Berikutan itu, saya membuat laporan polis mengenai kehilangan beg dan turut memuat naik rakaman CCTV di Facebook dengan menawarkan ganjaran sebanyak RM300 kepada individu terbabit. Kemungkinan dia mahu pulangkan beg itu tetapi tidak tahu bagaimana,” katanya.

Katanya, beg itu amat bermakna buat dirinya selain mengandungi barang berharga termasuk MyKad, cincin dan kunci kereta.

Rakaman CCTV dan tawaran ganjaran itu tular di laman sosial Facebook sejak Khamis lalu, namun Syaq Yee berkata, sehingga kini belum ada individu yang menghubunginya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 12:29 PM