MAYAT mangsa. FOTO Rosli Ilham


NELAYAN dilaporkan hilang selepas bot dinaiki dibadai ombak di muara Kuala Dungun, Dungun, semalam ditemui lemas, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mayat mangsa, Afandi Zakaria, 42, ditemui jam 10.15 pagi.

Katanya, mayat terbabit dihanyutkan kira-kira lima kilometer dari lokasi bot dinaikinya dilaporkan karam.

“Mayat ditemui terapung oleh pasukan penyelamat yang menyambung semula operasi pencarian, kira-kira 8 pagi ini.

“Mayat kemudiannya dibawa naik ke darat sebelum dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian 7.30 pagi semalam, Afandi dilaporkan hilang, manakala dua rakannya terselamat selepas bot mereka terbabit dalam tragedi itu.

Difahamkan, kejadian sewaktu mereka dalam perjalanan dari Kuala Dungun untuk keluar menangkap ikan sebelum bot mereka dibadai ombak.

Kesemua mangsa tercampak ke laut, sementara dua yang terselamat itu berjaya berenang ke darat dengan menggunakan tong minyak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 12:48 PM