POLIS menyerahkan tiga kanak-kanak itu kepada keluarganya. FOTO Ihsan Polis
Khairul Najib Asarulah Khan


TIGA kanak-kanak yang tertinggal di sebuah stesen minyak di Gombak, semalam, disebabkan datuknya menyangkakan mereka masih berada di dalam kereta.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian 1 tengah hari itu berlaku apabila lelaki berusia 70-an itu dalam perjalanan menuju ke Kuantan selepas mengambil tiga cucunya di rumah anaknya di Shah Alam.

Menurutnya, setibanya di Gombak, lelaki berkenaan memberhentikan keretanya di stesen minyak untuk ke tandas yang mana ketika itu ketiga-tiga cucunya sedang tidur.

“Sejurus itu, dia terus memandu kereta berkenaan tanpa menyedari cucunya sudah keluar dari kereta terbabit.

“Lelaki itu hanya menyedari cucunya iaitu dua perempuan dan seorang lelaki tiada dalam kereta ketika melalui Jalan Karak sebelum dia segera patah balik ke stesen minyak berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arifai berkata, dalam masa sama, anggotanya sudah membawa kanak-kanak itu ke Balai Polis Gombak selepas mendapat panggilan dari orang awam.

“Pada 3 petang semalam, lelaki itu bersama anak perempuannya sudah mengambil mereka.

“Kita harap orang ramai tidak terus menularkan kejadian ini disebabkan kanak-kanak ini sudah selamat kembali ke pangkuan keluarga,” katanya.

Terdahulu, kejadian berkenaan tular di laman sosial yang meminta orang ramai berkongsi gambar kanak-kanak terbabit untuk mengesan ibu bapa mereka.

From: K-rul

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 1:12 PM