Pegawai dan anggota PPM bersama suspek dan barang rampasa dalam Operasi Inter Agensi di Pulau Gaya, Kota Kinabalu semalam. Foto Ihsan PPM
Norasikin Daineh

PASUKAN Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu merampas 13,148 batang rokok putih dan kretek tidak bercukai dalam Operasi Inter Agensi di Pulau Gaya, dekat Kota Kinabalu semalam.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi itu dijalankan bermula 10 pagi di sebuah premis kedai runcit di pulau berkenaan.

“Berdasarkan maklumat Unit Risik Marin dan aduan orang awam, sepasukan pegawai dan anggota PPM Kota Kinabalu bersama beberapa pegawai penguat kuasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menahan seorang suspek berusia 27 tahun.

“Hasil pemeriksaan berjaya membawa kepada penemuan sebanyak 13,148 batang rokok putih dan kretek tidak bercukai yang disorokkan di bawah meja kaunter, dapur dan stor premis,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan dan tangkapan dibawa ke pejabat JKDM Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan selepas taksiran cukai adalah dianggarkan bernilai RM9,861.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barangan atau RM100,000 yang mana lebih tinggi,” katanya.

Mohamad Pajeri berkata, operasi itu dijalankan bersama JKDM dengan menumpukan kegiatan penyeludupan dan penjualan rokok tidak bercukai di daerah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 2:47 PM