Rizanizam Abdul Hamid

TIDAK timbul sebarang isu tindakan disiplin untuk memecat Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak hadir pada hari terakhir Kongres Nasional PKR 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu pemecatan tidak berbangkit walaupun tindakan pemecatan ada disuarakan perwakilan parti.

“Ini (pemecatan Mohamed Azmin) hanya disuarakan perwakilan tetapi tidak ada kemungkinan untuk dibalas (dengan pemecatan).

“Saya tidak ada masalah untuk berbincang tapi masalah yang disuarakan kuat adalah sentimen parti mahu bersatu tidak bertolak ansur dengan apa yang mereka anggap menyimpang daripada disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas tamat sesi ucapan penggulungan kongres berkenaan yang melabuhkan tirainya hari ini sejak bermula Khamis lalu.

Ditanya adakah beliau sedia memaafkan Mohamed Azmin atas tindakannya itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau sedia memaafkannya.

“Saya ini pemaaf lagipun itu bukan soal peribadi, tapi saya kena dengar juga suara dan sentimennya. Tadi saya jawab saya dengar hasrat mereka (perwakilan) jadi kena bagi ruang sikit,” katanya.

Hari terakhir Kongres Nasional PKR hari ini bermula tanpa kehadiran Mohamed Azmin Ali serta pimpinan yang menyokongnya.

Sebaliknya ketibaan Anwar bersama Pengerusi Majlis Penasihat PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hanya disambut Naib Presiden PKR Tian Chua yang dikaitkan sebagai kumpulan Mohamed Azmin.

Mengikut jadual asal, hari terakhir kongres bakal menyaksikan ucapan penggulungan daripada Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ketua Wanita, Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden PKR.

Semalam, dalam satu sidang media tergempar selepas meninggalkan sesi perbahasan, Mohamed Azmin mendakwa Anwar gagal memenuhi janji memastikan pembahas patuh pada kerangka dan parameter ucapan yang dipersetujui dalam mesyuarat khas antara mereka di bangunan Parlimen, Rabu lalu.

Susulan itu, seramai 22 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dari pasukannya bersama ratusan perwakilan keluar meninggalkan sesi perbahasan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 3:03 PM
Anwar ketika berucap di sesi penggulungan Kongres Nasional PKR 2019 di MITC, Ayer Keroh di Melaka hari ini. Foto Rasul Azli Samad