DR MAHATHIR. FOTO Arkib NSTP
M Hifzuddin Ikhsan


PAKATAN Harapan (PH) tidak akan mencampuri masalah dalaman dihadapi antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana menganggap itu adalah urusan parti berkenaan.

Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, apa yang beliau mahu ketika ini adalah kerajaan dapat terus berfungsi dengan baik dan berwibawa dalam menggerakkan negara.

Jelasnya, perselisihan faham dalam kepimpinan parti politik adalah perkara biasa dan PH tidak terbabit dalam urusan parti komponen, namun berharap ia tidak menjejaskan kerajaan.

“Ini masalah dalaman PKR, saya tak nak campur tangan. Saya harap kita boleh bekerjasama dan kerajaan terus berwibawa.

“Perselisihan faham memang berlaku dalam mana-mana kepimpinan, tetapi saya yakin ia tidak akan sehingga menjejaskan PH dan pemerintahan kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Jabatan dan Pimpinan PH Langkawi di Langkawi, hari ini.

Perselisihan faham antara kedua-dua pimpinan tertinggi PKR itu dilihat semakin tegang apabila Mohamed Azmin pada Kongres Nasional PKR 2019 semalam, meninggalkan pentas ketika sesi perbahasan ucapan dasar sebelum mengadakan sidang media tergempar.

Mohamed Azmin dipetik berkata, beliau meninggalkan pentas kerana sesi perbahasan pada kongres itu bertukar menjadi medan serangan peribadi ke atasnya dan Anwar didakwa melanggar perjanjian damai antara mereka.

Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri menjelaskan, PKR menjadi tumpuan pembangkang kerana parti itu sebahagian daripada kerajaan yang memerintah sekarang.

“Parti lawan pun ada masalah, tetapi mereka tidak jadi kerajaan dan orang tidak peduli.

“Tetapi bila kita jadi kerajaan, jika ada selisih faham walaupun sedikit dan biasa maka ia jadi tumpuan,” katanya.

Berita berkaitan

Tidak timbul isu pemecatan Azmin - Anwar

Anwar sedang diuji - Tian Chua

Azmin dan 22 MPP keluar dewan [METROTV]

Di mana Azmin?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 3:22 PM