NORAZAH (tengah) bergambar bersama orang ramai selepas Majlis Perasmian Program Payung Inklusif 2019 anjuran Fakulti Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. FOTO Azhar Ramli


PERANGKAAN terkini menunjukkan seramai 549,554 individu atau hanya 1.7 peratus orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar di Malaysia sehingga 30 Jun 2019.

Penasihat Kehormat Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM), Dr Ruziah Ghazali berkata, peratusan itu terlalu rendah dibandingkan jumlah penduduk negara ini, kira-kira 32 juta orang.

Menurutnya, masih ramai ibu bapa yang ‘menyimpan’ anak OKU mereka di rumah, sedangkan mereka patut didaftarkan supaya berpeluang mendapat pelbagai akses dan manfaat.

“Kita mencadangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) ibu bapa mendaftarkan anak OKU mereka. Dia (anak) tak tahu apa-apa, dah umur 18 baru tahu, dah terlambat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum ‘The Future is Accessible’ yang diadakan pada Program Payung Inklusif 2019 di Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi, hari ini.

Program bersempena Hari OKU Sedunia UKM 2019 itu dirasmikan Dekan Fakulti Pendidikan UKM, Prof Datuk Dr Norazah Mohd Nordin.

Ruziah menegaskan, semua OKU mempunyai peluang sama untuk berada dalam masyarakat dan mempunyai hak seperti insan lain, sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak.

“Accessible (boleh akses) bagi OKU adalah berbeza-beza mengikut keperluan OKU, seperti gajet yang sesuai untuk orang masalah penglihatan dan pendengaran, persekitaran sesuai. Banyak lagi tak accessible,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, istilah ‘orang kurang upaya’ lebih sesuai berbanding ‘orang kelainan upaya’ yang diketengahkan sesetengah pihak kebelakangan ini.

“OKU iaitu orang kurang upaya seperti disebut akta tak perlu dipertikai, sebab memang kurang upaya, kena orang lain bantu.

“Kelainan upaya seperti Catwoman, panjat bangunan. Orang buta (misalnya) memang kurang upaya, kena orang lain tolong,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 3:57 PM