Yusmizal Dolah Aling di Cox's Bazar dan Bangladesh

TIADA apa yang lebih menggembirakan bagi sukarelawan misi kemanusiaan Muslim Care Malaysia (Muslim Care) apabila pelarian yang disantuni dan dilatih menjadi bidan mengenang jasa mereka.

Tanpa disangka-sangka, mereka 'dikejar' seorang peserta kursus pengendalian kelahiran bayi ketika bergerak keluar dari Kem Kutupalong di Cox’s Bazar, Bangladesh.

Pelarian berkenaan, Anwera Begum, 35, menyertai latihan selama empat hari di Kem Hakim Para yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari Kem Kutupalong.

Dia yang nampak kelibat jururawat Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena (AWCSH), Hasnani Andi mengejar sukarelawan sebelum memeluk mereka sambil mengucapkan terima kasih.

Hasnani berkata, dalam latihan yang bermula 2 Disember lalu itu, Anwera memang rapat dengan kumpulan jururawat yang melatih mereka dan dia juga seorang yang berpengalaman menyambut kelahiran bayi sejak lapan tahun lalu.

"Saya tidak sangka dia boleh mengingati nama kami dengan baik. Lokasi kem ini (Kutupalong) dengan tempat latihan juga jauh. Ini membuktikan dia bersungguh-sungguh mahu belajar menjadi bidan dengan baik," katanya.

HASNANI (tengah) bersama Anwera Begum di Kem Kutupalong. FOTO Yusmizal Dolah Aling
HASNANI (tengah) bersama Anwera Begum di Kem Kutupalong. FOTO Yusmizal Dolah Aling

Sementara itu Timbalan Presiden Muslim Care Mohd Johari Ismail berkata, walaupun keadaan kem berkenaan tidak banyak berubah, namun ada beberapa penambahbaikan infrastruktur hasil usaha badan bukan kerajaan antarabangsa.

Katanya, misi yang berakhir hari ini itu memberi tumpuan kepada sumbangan selimut untuk pelajar madrasah dan ubat-ubatan kepada bayi.

MOHD Johari (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada pelajar madrasah di Kem Kutupalong. FOTO Yusmizal Dolah Aling
MOHD Johari (dua kiri) menyerahkan sumbangan kepada pelajar madrasah di Kem Kutupalong. FOTO Yusmizal Dolah Aling

"Alhamdulillah, misi kali ini selesai dan kita berterima kasih kepada penyumbang yang membantu selain penyertaan sukarelawan termasuk dari Harian Metro.

"Sumbangan boleh terus disalurkan menerusi nombor akaun 564490413882 (Maybank), 14014010147470 (Bank Islam) atau 14010007654717 (Bank Muamalat)," katanya.

SUKARELAWAN berdoa sebaik selesai misi kemanusiaan 2019. FOTO Yusmizal Dolah Aling
SUKARELAWAN berdoa sebaik selesai misi kemanusiaan 2019. FOTO Yusmizal Dolah Aling

Sukarelawan juga dibawa melawat ke Hospital Medan Malaysia (MFH) untuk melihat operasi di situ sejak ia dibuka pada Disember 2017.

Delegasi disambut pegawai bertugas Dr Vinodkumar yang memberi penerangan mengenai fungsi MFH terutama dalam merawat yang dirujuk daripada klinik di dalam kem.

Katanya, kebanyakan kes yang diterima adalah yang memerlukan pembedahan segera dan kritikal serta rawatan kecemasan.

"Kita ada dua wad yang boleh menampung 20 pesakit. Selepas dirawat, pelarian akan dihantar balik ke kem masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 5:29 PM
MOHD Johari mendukung bayi di kem pelarian. FOTO Yusmizal Dolah Aling
MOHD Johari mendukung bayi di kem pelarian. FOTO Yusmizal Dolah Aling