Lelaki yang dikenali dengan panggilan ‘Pak Cik’ sedang dicari polis di Serian. Foto Ihsan PDRM
Garret Dawum

POLIS sedang mengesan seorang lelaki dikenali dengan panggilan ‘Pak Cik’ bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga Indonesia di kebun sawit di Kampung Abit di Serian pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Serian Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata, lelaki berkenaan juga dipercayai warga Indonesia.

Menurutnya, orang ramai yang mengenali atau mengetahui lokasi dia berada boleh menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Alias Nen ditalian 016-8830433 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, seorang lelaki berusia 27 tahun ditemui mati dipercayai dibunuh.

Mangsa dijumpai terbaring dan berlumuran darah oleh penduduk pada 3 petang dan pemeriksaan pada badan mangsa mendapati ada kecederaan di belakang lehernya.

Mayat lelaki itu kemudiannya dihantar ke Hospital Serian untuk proses bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 6:14 PM