Haniza. FOTO Arkib NSTP
Mohd Firdaus Ibrahim


PEMIMPIN yang gagal berpegang kepada prinsip dan janji, tidak mampu menjadi pemimpin kepada lebih 30 juta rakyat Malaysia, kata Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha.

Haniza memberi reaksi itu bagi membidas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal mengotakan janjinya mengawal pembahas dalam Kongres Nasional parti berkenaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MiTC).

Menurutnya, pemimpin utama parti itu tidak berpegang kepada prinsip dan janji sehingga gagal mengawal etika ahlinya ketika Kongres Nasional berlangsung.

“Semalam, kita nyatakan dengan jelas bahawa kita memang cintakan parti ini, sebab itu kita sanggup datang ramai-ramai dari jauh. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“(Pemimpin) tidak boleh mengawal etika ahli dan pimpinan parti. Kalau tak boleh kawal, bagaimana nak tadbir 30 juta rakyat,” katanya ketika berucap dalam majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, malam ini.

Haniza berkata, seorang pemimpin harus menyatakan perkara yang benar, memiliki jiwa besar dan boleh menerima teguran.

“Disebabkan (pemimpin) tidak mahu mengaku kesalahan, kelemahan, maka perkara ini menjadi berterusan. Mari kita sampaikan isyarat yang betul bahawa kita cintakan parti yang dibina sejak 20 tahun lalu.

“Tetapi hari ini, kita terpaksa merayu supaya diberi keadilan kepada saudara Zakaria Abdul Hamid (bekas ahli MPP yang dipecat), tidak diberi peluang membela diri. Apa jenis pemimpin macam ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Disember 2019 @ 8:41 PM