RAKAMAN gambar kilang terbakar yang tular di Facebook. FOTO Facebook
Mohd Sabran Md Sani


SERAMAI 12 pekerja sebuah kilang di Jalan Nibong, Kawasan Perindustrian Tanjung Langsat di Pasir Gudang, melecur pada badan akibat kebakaran, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, kejadian 9.21 pagi itu berlaku ketika semua mangsa melakukan kerja penyelenggaraan.

“Empat daripada 12 mangsa itu dirawat Hospital Penawar, Pasir gudang, dua mangsa lagi dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, manakala enam mangsa lain dirawat sebagai pesakit luar (Hospital Penawar).

“Pasukan Bomba dan Penyelamat berjaya memadamkan kebakaran pada 9.27 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Terdahulu tular di Facebook (FB) mengenai kejadian kilang di Tanjung Langsat, Pasir Gudang didakwa terbakar.

Laman FB Community Roda Johor (CRJ) berkongsi gambar kebakaran membabitkan insiden letupan di kilang itu.

Sementara itu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor mengesahkan kebakaran di luar kilang itu, tetapi tidak membabitkan struktur kilang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahya Madis berkata, tindakan pemadaman bagaimanapun dilakukan pihak Pasukan Respons Kecemasan (ERT) kilang tanpa menghubungi bomba.

“Kebakaran membabitkan ‘tong solvent’ di luar kilang dan tidak menjejaskan struktur kilang.

“Tindakan pemadaman oleh ERT kilang tanpa menghubungi bomba,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 1:50 AM