ANTARA individu yang ditahan dalam serbuan berkenaan. FOTO Ihsan AADK
Nor Farhani Che Ad


DEMI mendapatkan bekalan dadah, seorang wanita di Sungai Petani, sanggup menjadikan rumahnya sebagai sebagai ‘port’ penagihan dadah.

Wanita berusia 25 tahun itu ditahan di rumahnya di Kampung Pulau Sayak, dalam serbuan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Muda, semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda Arnida Ishak berkata, wanita yang sudah bersuami itu ditahan dalam Ops Cegah yang diadakan bermula 9 pagi.

“Ketika serbuan diadakan, wanita itu berada di rumah terbabit bersama suaminya.

“Hasil pemeriksaan ujian saringan awal air kencing mendapati wanita berkenaan positif dadah jenis methamphetamine manakala suaminya didapati negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, wanita terbabit dipercayai mendapatkan bekalan dadah daripada penagih lain yang datang ke rumahnya untuk melepaskan gian.

Arnida berkata, dalam operasi berkenaan, pihaknya turut menahan lima lelaki berusia lingkungan 29 hingga 40 tahun.

Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripadanya positif dadah jenis methamphetamine, dua positif morfin dan dua lagi positif kedua-dua jenis dadah.

Beliau berkata, operasi tertumpu di beberapa lokasi iaitu Kampung Paya Suri Semeling, Kampung Batu Hampar Merbok, Kampung Telok Nipah dan Kampung Jerung.

Katanya, kesemua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983 pindaan 1998.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 8:32 AM