PRODUK Pak Li Medicated Plaster. FOTO Ihsan KKM
Siti A’isyah Sukaimi


Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan menggesa orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan produk tradisional Pak Li Medicated Plaster yang dikesan mengandungi racun berjadual diphenhydramine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk itu dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuarat ke-341, 5 Disember lalu berikutan pengesanan racun berjadual di dalam produk itu yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

“Diphenhydramine adalah sejenis antihistamin dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperolehi daripada doktor atau ahli farmasi.

“Diphenhydramine digunakan untuk melegakan reaksi alahan. Kesan sampingan diphenhydramine yang digunakan secara ‘topical’ termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, justeru, penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

Katanya, penjualan dan pengedaran produk ini melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Mereka boleh menyemak status pendaftaran sesuatu produk melalui laman web http://www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 9:15 AM