FOTO Arkib NSTP
Mohd Rafi Mamat


PENJARA Penor di Kuantan kini berusaha menambah lebih ramai jumlah banduan bagi mengikuti latihan dalam bidang perladangan kelapa sawit sebagai persiapan apabila mereka dibebaskan kelak.

Pengarahnya, Datuk Abu Hassan Hussain berkata, sebelum ini pihaknya hanya mampu menyediakan tempat kepada 12 banduan untuk mengikuti latihan berkenaan sejak 2013 ketika ladang kelapa sawit milik Penjara Penor seluas 3.6 hektar berkenaan mula dibuka.

Menurutnya, sudah tiba masanya lebih ramai banduan diberi peluang mengikuti latihan sebagai pendedahan, seterusnya membina kerjaya baru selepas dibebaskan.

“Kita bercadang untuk melatih sekurang-kurangnya 30 banduan setahun, mereka akan mengikuti latihan antara tiga hingga empat bulan membabitkan semua aktiviti seperti menanam, memotong buah, membaja, meracun dan mengumpul hasil.

“Penjara Penor menyediakan lebih 10 latihan kemahiran kepada banduan sebagai persediaan untuk mereka apabila bebas,” katanya pada Program Berkhatan Anak Warga Penjara Penor di Dewan Sendayan, di Kuantan, semalam.

Abu Hassan berkata, kerjasama Penjara Penor dengan Yayasan Pahang dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) yang menyediakan peluang pekerjaan di ladang miliki mereka mampu membina kehidupan baharu yang lebih bermakna kepada bekas banduan yang dibebaskan.

Beliau berkata, selain mendapat kemahiran yang diperlukan banduan, beberapa kursus disediakan juga turut menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua yang dapat menjadi sokongan bagi mendapatkan pekerjaan sesuai selepas dibebaskan.

Katanya, antara kursus yang terdapat di Penjara Penor ialah Tenun Pahang Diraja, dobi, jahitan, bengkel besi, kebun sayur, ternakan ikan air tawar, simen pero dan bengkel kraftangan kayu.

Menurutnya, kursus terbaru disediakan ialah pembuatan sabun pencuci, Penjara Penor yang pertama melatih banduan menghasilkan produk berkenaan yang kini hasilnya diedarkan ke semua penjara seluruh negara.

“Pelbagai usaha dilakukan Penjara Penor dalam usaha memberi kemahiran kepada setiap banduan, kebolehan mereka diharap dapat membina hidup baru yang lebih sempurna dan berjaya.

“Selain kemahiran kita juga tidak pernah mengabaikan didikan agama pada setiap banduan Islam, pelbagai program diadakan seperti kelas al Quran, ceramah agama dan Tafaqquh Fiddin dengan kerjasama Yayasan Pahang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 11:10 AM