NAJIB hadir membela diri dalam kes skandal SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, diberitahu bahawa tiga akaun bank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibuka di AmBank selepas dimaklumkan beberapa pihak dijangka memberi sumbangan secara peribadi kepada beliau.

Najib berkata, ia berikutan pihak itu menyedari bahawa sumbangan yang dilakukannya kepada politik, sosial dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) adalah bagi tujuan kebajikan dari 2011 hingga 2013.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan membela diri atas tujuh pertuduhan merangkumi kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Ahli Parlimen Pekan, Pahang itu berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed berhubung penutupan akaun AmBank bernombor akhir 694 dan pembukaan tiga akaun bernombor akhir 880, 906 dan 898 pada 2013.

Menurut Najib, akaun bernombor akhir 694 ditutup selepas beliau berniat menghantar semula sejumlah besar dana yang tidak digunakan kepada penderma.

“Saya berbincang perkara ini dengan Azlin (Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Seri Azlin Alias) dan kami bersetuju supaya akaun ini ditutup.

“Bagi menguruskan sumbangan dan perbelanjaan dengan lebih baik berkaitan dengan CSR, Azlin mencadangkan supaya akaun baharu dibuka dan baki dana digunakan sebagai dana permulaan untuk akaun baru itu," katanya.

Najib berkata, beliau bersetuju akaun berbeza dibuka supaya sumbangan itu dapat diuruskan dengan lebih baik.

"Borang pembukaan diberikan kepada saya oleh Azlin. Saya tanda tangan borang itu dan berikan kepada beliau untuk tindakan lanjut.

"Saya tidak pasti sekiranya Azlin berurusan secara langsung dengan Cheah (bekas Pengarah Urusan AmBank, Cheah Tek Kuang) atau Nik Faisal (Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamal), untuk membuka akaun itu pada 2013," katanya.

Menjawab sama ada beliau ada menghubungi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung pembukaan akaun itu, Najib berkata tidak sama sekali.

"Sekali lagi saya terkejut kenapa pihak bank berurusan dengan Jho Low apabila beliau tidak pernah sama sekali diberi kuasa untuk berhubung dengan bank akan perkara berkaitan dengan akaun saya.

"Saya juga tidak mengarahkan nama lain digunakan untuk membuka tiga akaun itu. Tidak sama sekali. Saya tidak diberitahu hal ini dan tidak membenarkan hal yang sama," katanya.

Najib berkata, buku cek yang diterimanya tidak menunjukkan nama akaun seperti yang didakwa dalam keterangan bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu.

Yu sebelum ini memberi keterangan bahawa Jho Low mengarahkan beliau untuk mendapatkan kelulusan bagi menggunakan nama lain bagi akaun baru iaitu akaun 880: AmPrivate Banking-1MY; akaun 906: AmPrivate Banking - MY dan akaun 898: AmPrivate Banking -Y1MY.

Menjawab soalan sama ada beliau mengetahui Yu, Daniel Lee dan Krystal Yap dilantik sebagai Pengurus Perhubungan bagi akaun 880, 906 dan 898, Najib berkata tidak.

"Saya tidak pernah berurusan dengan semua individu ini dan tidak pernah diberitahu mereka mempunyai peranan dalam menguruskan akaun bank saya.

"Azlin ada memaklumkan kepada saya bahawa beliau memilih Nik Faisal untuk terus bertindak selaku individu yang diberi kuasa untuk semua akaun baru. Ia seperti kesinambungan daripada akaun 694 yang lama," katanya.

Dirujuk kepada surat borang pembukaan akaun, Najib berkata, beliau tidak pasti jika ada menandatanganinya berikutan ia bertarikh sebelum akaun baru dibuka.

“Ia sesuatu yang pelik. Nombor akaun bagi akaun baru juga tidak tidak dinyatakan. Surat ini kelihatan tidak lengkap. Surat ini ditunjukkan kepada saya apabila rakaman percakapan saya diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya mengakui menandatanganinya berdasarkan dokumen tetapi tidak diberitahu bahawa terdapat dokumen lain di dalam simpanan bank.

“Saya percaya tandatangan saya dipalsukan, saya tidak dapat mengesahkan kebenaran dokumen ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 11:18 AM