FOTO Hiasan
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


LEBIH 24 jam berpaut pada bot sebelum diselamatkan. Itu nasib dialami dua nelayan di Pekan, apabila bot dinaiki mereka pada pagi semalam dipukul ombak sebelum terbalik di Kuala sungai Baru Badong, Merchong.

Bagaimanapun tindakan Husin Ismail, 50, dan rakannya Mahmud Abdul Razak, 47, yang sempat berpaut pada bot mereka menyebabkan mereka berjaya menyelamatkan diri sebelum diselamatkan orang ramaib pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, kedua-dua mangsa diselamatkan penduduk kampung pada 10.30 pagi sebelum seorang daripada mereka dikejarkan ke Hospital Rompin bagi menerima rawatan.

HUSIN Ismail, 50, dan rakannya Mahmud Abdul Razak, 47, berjaya diselamatkan orang ramai selepas lebih 24 jam berpaut pada bot dinaiki selepas dipukul ombak sebelum terbalik di Kuala Sungai Baru Badong, Merchong. FOTO Ihsan PDRM

Katanya, terdahulu polis menerima panggilan kecemasan mengatakan terdapat bot karam di Kuala Sungai Badong, di sini, sebelum ke lokasi kejadian bersama pihak bomba.

“Apabila tiba ke lokasi, dua mangsa sudah diselamatkan penduduk kampung dan seorang daripada mereka dibawa ke hospital bagi menerima rawatan.

“Berdasarkan keterangan mangsa, mereka dari Jeti Badong keluar ke laut untuk menarik pukat ketam dengan bot gentian kaca pada 7.30 pagi semalam. Apabila sampai di Kuala Sungai Badong, tiba-tiba bot mereka terbalik selepas dihempas ombak beberapa kali.

“Dua mangsa sempat berpaut pada bot mereka sebelum mereka dijumpai beberapa nelayan hari ini dan diselamatkan,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua mangsa tidak mengalami kecederaan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 11:53 AM