BOMBA membantu mengeluarkan mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Khairul Najib Asarulah Khan


PEMANDU lori terpaksa menahan kesakitan hampir 30 minit akibat tersepit selepas lori dipandunya merempuh sebuah lagi lori di Lebuhraya Pantai Baru (NPE), arah Subang Jaya, berhampiran Plaza Tol Pantai Dalam, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Jalan Pantai Baru, Penolong Kanan Penguasa Bomba Hamid Daud berkata, sebuah jentera dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 12 anggota dikerah ke lokasi sebaik pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.14 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba 10 minit kemudian, anggotanya mendapati pemandu lori itu tersepit di bahagian pemandu.

“Mangsa lelaki yang berusia 40-an itu berjaya dikeluarkan 14 minit kemudian. Dia yang mengalami kecederaan ringan di kaki diberi rawatan awal oleh anggota EMRS.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila lori muatan tanah yang dipandu mangsa merempuh lori muatan yang sama di hadapannya di laluan yang sama.

“Pihak kami menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 12:07 PM