Shamsul Munir Safini


SUAMI isteri di Kepala Batas dikesan menggunakan YouTube bagi mempelajari selok-belok memproses heroin, sejak dua tahun lalu.

Aktiviti pasangan itu bersama tiga lagi rakan mereka terbongkar selepas mereka diberkas dalam satu serbuan polis, 4 Disember minggu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, pada serbuan 5 petang itu, sepasukan polis menyerbu rumah disewa lelaki berusia 38 tahun dan isterinya, 40.

Beliau berkata, pihaknya menemui sejumlah dadah bernilai RM355,710 terdiri daripada heroin, heroin ‘base’, pil eramin 5 dan kafein.

“Polis juga merampas 121 butir peluru hidup di kediaman suspek selain peralatan memproses dadah,” katanya.

Narenasagaran berkata, kumpulan ini dipercayai beroperasi sejak 2017 dan saki-baki daripada beberapa kumpulan pengedar dadah yang berjaya diberkas polis sebelum ini.

Beliau berkata, polis juga menyita dua kereta dan dua motosikal suspek selain merampas wang tunai berjumlah RM3,912 serta membekukan wang RM3,580.81 di dalam akaun mereka.

“Semua suspek direman selama tujuh hari sehingga 11 Disember ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen (a) Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 12:30 PM
NARENASAGARAN menunjukkan dadah yang dirampas daripada suspek. FOTO Ramdzan Masiam