Murni Wan Omar


BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, beliau tidak menyedari bahawa tiga akaun bank miliknya kerap dalam keadaan ‘overdrawn’ (terlebih keluar) akibat pengeluaran cek tanpa dana mencukupi.

Najib berkata, sebelum cek dikeluarkan, Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Seri Azlin Alias sentiasa memaklumkan terdapat baki mencukupi di dalam akaun.

“Saya tidak akan mengeluarkan cek sekiranya tahu sebaliknya. Hampir semua penerima cek dikeluarkan oleh saya melalui akaun ini adalah untuk cabang komponen Barisan Nasional, UMNO, pelbagai kebajikan, pembiayaan untuk pemberi khidmat dan kontraktor.

“Ia akan menjadi sesuatu memalukan sekiranya cek saya tidak dapat ditunaikan. Saya tidak akan mengambil risiko itu. Seingat saya, tiada satu pun pembayaran yang perlu diselesaikan dengan kadar segera dan hampir semua sumbangan dikeluarkan apabila penerima datang berjumpa dengan saya,” katanya.

Beliau berkata, beliau bersetuju untuk memberikan sumbangan itu kerana diberitahu masih terdapat dana yang mencukupi.

Menjawab soalan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed berhubung tindakan Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamal dan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low yang akan memastikan dana sentiasa ada, Najib berkata, beliau tidak sedar berhubung perkara itu.

“Saya hanya mendapat tahu mengenai hal ini apabila keterangan ditunjukkan kepada mahkamah. Saya terkejut. Saya tidak pernah memberi kebenaran kepada Azlin, Nik Faisal atau Jho Low untuk melakukan tindakan demikian.

“Saya tidak pernah diberitahu mengenai keadaan overdrawn semua akaun itu. Saya difahamkan bahawa keadaan itu adalah hasil daripada pengeluaran cek oleh saya. Ini secara jelasnya menunjukkan bahawa saya tidak pernah diberitahu baki sebenar di dalam akaun,” katanya.

Sementara itu menjawab soalan sama ada, beliau sedar bahawa bank ada mengeluarkan amaran ‘red flags’ berikutan akaun sentiasa dalam keadaan overdrawn dan kemasukan wang tunai dalam jumlah yang besar, Najib berkata tidak.

“Tidak sama sekali. Saya tidak akan membiarkan perkara ini terjadi. Saya pada masa itu adalah Perdana Menteri dan ahli politik yang dikenali di dalam negara.

“Sekiranya berita terbongkar bahawa akaun bank yang didaftarkan atas nama saya diberikan amaran oleh Bank Negara Malaysia (BNM) disebabkan kemasukan tunai sebanyak RM12 juta, ia akan digunakan oleh pihak pembangkang sebagai usaha untuk merosakkan reputasi saya,” katanya.

Najib berkata, beliau tidak akan membiarkan akaun peribadinya berdepan dengan risiko amaran AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) dan BNM.

“Saya dengan rendah diri meminta mahkamah untuk melihat tindakan tidak rasional ini. Saya tidak tahu akan kejadian ini.

“Sekiranya saya mempunyai pengetahuan, saya akan serta-merta membuat semakan berkenaan transaksi di dalam akaun baru kerana ia akan menunjukkan bahawa saya tidak dimaklumkan mengenai perkara sebenar,” katanya.

Menurutnya, tidak ada mana-mana pihak memberitahunya secara peribadi berhubung isu akaun bank miliknya dan amaran AMLA.

“Ketika perbicaraan, ia ditunjukkan bahawa Ambank didenda atas kegagalan untuk mematuhi kewajipan pelaporan. Sekiranya bank memaklumkan kepada saya, semestinya saya akan sedar mengenai hal ini.

“Kewujudan dan tujuan pemindahan wang (pemberian atau derma) tidak pernah dirahsiakan daripada pihak berkuasa. Saya tidak faham kenapa hal ini tidak pernah sampai kepada saya sebagai pemegang akaun,” katanya.

Berita berkaitan

Tak pernah lihat penyata tiga akaun - Najib

Buka tiga akaun baru kerana ada sumbangan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 12:31 PM