GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


WANITA hamil dua bulan trauma selepas dibelasah suaminya di kediaman mereka di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Malah, mangsa berusia 29 tahun itu dipukul suaminya warga Indonesia berusia 30-an sejak sebulan lalu, jika berlaku perselisihan faham antara mereka.

Tidak tahan dengan perbuatan lelaki terbabit, dia bersama dua anak lelakinya nekad melarikan diri dan pulang ke rumah keluarganya sebelum tampil membuat laporan polis Khamis lalu untuk tindakan selanjutnya.

Menceritakan semula kejadian itu, sumber berkata, kali terakhir mangsa dipukul pada 29 November lalu iaitu jam 11.55 malam apabila dia yang sedang tidur didatangi suami yang mengamuk dan terus memecahkan pintu bilik.

“Lelaki terbabit bersama ibu saudaranya kemudian terus menyerang mangsa dan mencekik lehernya sebelum dia terus dipukul.

“Malah, suaminya turut mengacu pisau dan mengugut ingin membunuhnya menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya.

Menurut sumber, dalam kejadian itu juga, suaminya turut cuba memukul anak mereka namun sempat diselamatkan bapa saudaranya.

“Selepas membelasah mangsa, suspek kemudian terus beredar dari rumah.

“Bimbang dengan keselamatan diri dan anak-anak, wanita terbabit nekad keluar dari rumah itu pada 1 Disember lalu ketika suaminya ke tempat kerja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 12:36 PM