LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Noor Hidayah Tanzizi


“SEPARUH nyawa saya melayang sebaik menyedari Ayat hilang dan ini pengalaman yang sangat menakutkan,” kata ibu kepada Mohd Hidayatullah Ahmad, 8, atau nama manjanya Ayat yang ditemui orang awam selepas terpisah daripada keluarganya ketika berkelah di Teluk Batik, Lumut, semalam.

Menceritakan kejadian mendebarkan itu, wanita yang dikenali sebagai Nora, 46, berkata, mereka datang berkelah ke pantai berkenaan bersama keluarga rakannya dengan menaiki sebuah kereta.

Menurutnya, selepas mandi di pantai, Ayat yang juga anak bongsu daripada tujuh beradik bersama kakaknya ke tandas, sementara dia menjaga barang di tempat perkelahan.

“Mereka masuk tandas berasingan. Selepas selesai mandi, Ayat tidak melihat kakak di depan tandas sedangkan kakaknya masih berada di tandas lagi.

“Selepas itu, kakaknya pula menunggu dan menyangka Ayat dalam tandas. Namun, selepas melihat dia masih tidak keluar terus berjumpa saya dan bertanyakan adiknya itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia tidak menolak kemungkinan anaknya itu panik dan menyangka mereka sudah meninggalkannya.

Sedangkan, ia hanya salah faham dan mereka masih mencarinya di sekitar kawasan pantai berkenaan.

“Perasaan saya ketika itu hanya Allah SWT saja yang tahu... rasa lemah badan tapi kuatkan juga kaki berjalan sambil menahan air mata mencari Ayat.

“Lebih dua jam kami cari, tanya anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), buat pengumuman orang hilang dan cari di tempat letak kereta sebelum polis telefon beritahu Ayat berada di balai,” katanya yang tinggal di Taman Desa Amanjaya, Kampung Gajah.

Katanya, dia juga berterima kasih kepada individu yang membantu dan orang ramai yang mendoakan keselamatan anaknya itu.

“Kejadian ini adalah pengajaran buat saya dan juga ibu bapa lain supaya lebih berhati-hati,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, Abdul Halim Sidi, 30, membantu Mohd Hidayatullah yang berjalan kaki seorang diri dalam keadaan takut sebelum dihantar ke Balai Polis Seri Manjung untuk bantuan lanjut.

Berita berkaitan

Nasib baik ada yang jumpa...

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 2:31 PM