Keadaan kereta mangsa selepas terjatuh ke dalam sungai di FELDA Redong di Labis hari ini. Foto ihsan JBPM

PEMANDU wanita terpaksa dibantu anggota bomba untuk keluar dari sungai selepas kereta dipandunya terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di FELDA Redong di Labis hari ini.

Wanita berkenaan yang dikenali sebagai Nur Syarifah Hidayu, 25, dikatakan terpinga-pinga berhampiran keretanya di sungai sedalam 0.9 meter itu selepas kenderaannya itu terjatuh dari jambatan terbabit.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Datuk Yahya Madis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.22 tengah hari mengenai kejadian sebuah kereta dan pemandunya berada di dalam sungai.

Menurutnya, sepasukan lapan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Labis kemudiannya dikejarkan ke tempat kejadian.

Sebaik tiba, katanya, pihaknya mendapati sebuah Perodua Myvi berada dalam sungai itu dan melakukan pemantauan sebelum menyelamatkan mangsa.

“Kami menggunakan tali untuk menyelamatkan mangsa dan anggota bomba kembali ke kereta berkenaan untuk mendapatkan beberapa barangan berharga sebelum menyerahkannya kepada wanita itu.

“Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Segamat menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Difahamkan, mangsa yang ketika itu memandu seorang diri dalam perjalanan pulang ke rumahnya di FELDA Selancar dari Labis.

Bagaimanapun, kereta terbabit dikatakan hilang kawalan ketika melalui jambatan sepanjang kira-kira 27 meter itu sebelum terbabas ke dalam sungai berkenaan.

Orang ramai yang melalui kawasan itu menghubungi bomba untuk membantu mangsa yang dilihat cuba menyelamatkan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 3:34 PM