TUAH tidak menyebelahi Shweta apabila tidak berjaya mara ke peringkat Top 20.
Georgie Joseph


SUDAH diumumkan sebagai pemenang, tetapi tersilap pula. Inilah yang dialami peserta Miss Universe 2019 dari Malaysia, Shweta Sekhon yang hanya sempat bergelar ‘pemenang’ kategori Kostum Kebangsaan Terbaik selama empat jam saja sebelum pihak Miss Universe membuat pengumuman rasmi di Twitter ia keputusan yang salah.

Sebaliknya, kategori berkenaan adalah milik Gazini Ganados dari Filipina dan bukannya Malaysia seperti yang diumumkan lebih awal.

Dalam Twitter berkenaan, penganjur pertandingan ratu cantik dunia yang berlangsung di Atlanta, Amerika Syarikat, hari ini memaklumkan pengacaranya, Steve Harvey tidak silap apabila mengumumkan Filipina memenangi kategori itu.

“Steve Harvey mengumumkannya dengan betul. Miss Universe Filipina Gazini Ganados adalah pemenang Kostum Kebangsaan Terbaik Miss Universe 2019. Tahniah, Gazini!” demikian tweet penjelasan mengenai kekeliruan itu.

Terdahulu, Harvey mengumumkan Filipina memenangi Kostum Kebangsaan Terbaik seperti tertera di skrin dan teleprompter.

Bagaimanapun, Shweta yang berada di pentas bersamanya kemudian membetulkan Harvey dan mengatakan Malaysia menang.

Shweta juga sempat berkongsi butiran pakaian rekaan pereka tempatan iaitu Carven Ong yang bertemakan ‘A Peranakan Indulgence’ daripada kaum Baba dan Nyonya sewaktu pengumuman terbabit.

Ini bukan kesilapan pertama dilakukan dalam acara terbesar dunia itu, sebaliknya, pada 2015 Harvey pernah tersalah mengumumkan pemenang utama Miss Universe antara Ariadna Gutiérrez yang mewakili Colombia yang sepatutnya dimenangi oleh Pia Wurtzbach (Filipina).

Dalam pada itu, tuah juga tidak menyebelahi Shweta apabila tidak berjaya mara ke peringkat Top 20 sekali gus menyaksikan wakil Malaysia terus kempunan untuk layak ke peringkat separuh akhir dalam tempoh 49 tahun.

Kali terakhir peserta Malaysia yang layak ke separuh akhir ialah menerusi Josephine Lena Wong pada 1970.

Pada edisi tahun ini, peserta Afrika Selatan, Zozibini Tunzi diumumkan sebagai Miss Universe manakala tempat kedua milik Puerto Rico dan ketiga, Mexico.

Berita berkaitan

Malaysia menang kostum kebangsaan terbaik Miss Universe 2019

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 3:53 PM