Laporan Harian Metro sebelum ini
Muhaamad Hafis Nawawi

NOTIS tuntutan undang-undang kepada Muhammed Yusoff Rawther yang juga bekas kakitangan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dihantar semula selepas memperoleh alamat sebenar tempat tinggalnya.

Peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Anwar berkata, pihaknya sudah mengeluarkan notis tuntutan seperti diarahkan tetapi tidak dapat menyerahkan kepadanya sebelum ini.

Menurutnya, notis yang dihantar sebelum ini dialamatkan ke Pulau Pinang seperti yang ada dalam akuan bersumpah itu.

Katanya, ia dipulangkan semula kerana lelaki berkenaan tidak tinggal di situ.

“Kami sudah cuba menyerahkan surat itu tetapi ia kembali semula ke pejabat.

“Notis terbabit sudah sedia untuk dikirimkan kepadanya (Muhammed Yusoff) selepas alamat terbaru dikenal pasti,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu beliau menemani Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek Ronnie Liu yang hadir untuk memberi keterangan mengenai kehadirannya di majlis memperingati Ulang Tahun Ke-30 Perjanjian Damai Hatyai ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 2 Disember 1989 di sebuah dewan di Kajang.

Ramkarpal berkata, pihaknya juga akan membuat carian maklumat melalui MyKad milik Muhammed Yusuf.

Sebelum ini, Anwar mengarahkan Ramkarpal untuk menghantar notis undang-undang kepada bekas kakitangannya Muhammed Yusoff untuk menarik balik fitnah terbabit.

Berita berkaitan

'Ini muslihat untuk jatuhkan imej saya'

Polis akan panggil Muhammad Yusoff Rawther

Anwar lapor polis

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 4:16 PM