FOTO hiasan. FOTO YAHYA ZAINUDDIN
Mohd Aizat Shamsuddin


“KITA tidak boleh menghalang mana-mana pihak bersuara dalam negara demokrasi ini, namun semua pihak harus faham bahawa enakmen, peraturan dan undang-undang sedia ada harus ditegakkan,” kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika mengulas kritikan badan peguam menerusi presidennya, Abdul Fareed Abdul Gafoor berhubung hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Syariah Hulu Terengganu terhadap enam individu yang ponteng solat Jumaat sebagai keras dan berlebihan.

Menurut Ahmad Samsuri, kerajaan negeri menghantar mesej jelas kepada masyarakat dan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri menjaga kebajikan dan maslahah (kebaikan) secara keseluruhan.

“Bukan bermakna kita mencari orang tidak solat Jumaat untuk beri hukuman sebaliknya tentu ada kebijaksanaan dalam apa yang kita laksanakan ini (hukuman),” katanya.

Sebelum ini, Abdul Fareed dipetik berkata hukuman penjara sebulan dan denda lebih RM2,000 terhadap enam lelaki di Terengganu kerana ponteng solat Jumaat disifatkan keras dan berlebih-lebihan.

Beliau berkata, walaupun undang-undang diri Islam terpakai pada orang Islam, harus diingatkan keadilan mesti diwajarkan dengan belas kasihan, malah merasakan hukuman lebih ringan akan menjadi teguran positif terhadap orang-orang yang mahu melakukan kesalahan.

Terdahulu, Mahkamah Syariah Hulu Terengganu, baru-baru ini, menjatuhkan hukuman denda dan penjara terhadap enam individu termasuk dua remaja selepas mengaku salah kerana ponteng solat Jumaat dipercayai kes pertama di negara ini.

Mereka ditangkap ketika mandi di tempat perkelahan popular di air terjun Sekayu pada Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 7:32 PM