FOTO hiasan.
Mahaizura Abd Malik


SERAMAI 118 pelajar sekolah menengah di Selangor dikesan mengambil dadah, hasil ujian saringan dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri sepanjang tempoh Januari hingga November lalu.

Pengarah AADK Selangor, Dr Nazira Sadiron berkata, pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun itu menjalani bimbingan dan kaunseling pihak sekolah dengan pengawasan AADK, polis dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Kebanyakan mereka dikesan positif syabu dan gam menerusi program ujian saringan air kencing yang kami jalankan di 188 sekolah Selangor, tahun ini.

“Pelajar terbabit diberi bimbingan dan kaunseling pihak sekolah dengan pemantauan pihak berkuasa dan AADK selama dua tahun.

“Walaupun jumlahnya menurun sedikit berbanding 125 pelajar dikesan positif dadah tahun lalu, kami bimbang jumlah remaja bawah umur semakin ramai terjebak kerana dadah kini semakin mudah didapati dan murah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kampus Bebas Dadah di Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Laboratori Kewarganegaraan dan Kepimpinan Belia Institut Pengajian Sains Sosial UPM merangkap Pengasas Modul Bimbingan Kepimpinan Diri, Prof Madya Dr Hanina H Hamsan.

Beliau berkata, AADK dengan kerjasama pelbagai agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat giat melaksanakan program rintis bagi memberi kesedaran mengenai bahaya dadah selain tindakan boleh diambil bagi mengekang gejala itu.

Katanya, pihaknya bimbang jumlah remaja bawah umur terjebak dengan dadah semakin ramai kerana bahan larangan itu semakin mudah didapati dan murah.

“Antara punca remaja belasan tahun terjebak dadah adalah pengaruh rakan, tekanan hidup dan mahukan keseronokan tanpa mengetahui kesannya bukan saja pada dirinya malah keluarganya.

“Oleh itu, kami menjalankan program kesedaran rintis ini sekerap mungkin di kawasan hotspot terutama di perumahan dan flat di Petaling Jaya Selatan, Desa Mentari, Taman Medan, Sabak Bernam selain tiga Felda di Hulu Selangor,” katanya.

Sementara itu, Hanina berkata, pihaknya mempunyai perancangan memperluaskan penggunaan Modul Bimbingan Kepimpinan Diri di seluruh negara sebagai sokongan tambahan kepada kaedah rawatan sedia ada kepada penagih dadah.

Beliau berkata, pihaknya mendapati ada keperluan menjadikan modul itu sebagai ‘alat’ tambahan kepada kaedah sedia ada berdasarkan keberkesanan program percubaan 12 bulan ke atas Orang Kena Pengawasan (OKP) di Negeri Sembilan bermula tahun lalu.

“Daripada 20 responden itu saya boleh jamin 12 OKP berjaya kekal kepulihan menerusi bimbingan dan terapi memulihkan keyakinan mereka menggunakan modul ini.

“Sasaran kami bukan hanya memulihkan mereka, sebaliknya mahu mereka menjadi kumpulan sokongan untuk mengekalkan kepulihan kawan OKP lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 7:34 PM