Pekebun kecil dan penoreh getah RISDA akan menerima bantuan RM600 seorang. FOTO Arkib NSTP
Mohd Hilmie Hussin


PEKEBUN kecil dan penoreh getah yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bakal menerima Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) RM600 seorang, bermula bulan ini.

Seramai 274,639 pekebun kecil getah bakal mendapat manfaat itu, secara berperingkat menerusi dua kali pembayaran, pada bulan ini dan Januari depan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohd Azmin Ali berkata, kerajaan memperuntukkan RM164 juta bagi tujuan itu, membolehkan 255,997 penerima terdiri daripada pengusaha manakala 18,642 lagi penoreh bukan pemilik.

Beliau berkata, pekebun kecil dan penoreh getah berdaftar dengan RISDA yang mengusahakan tanah tidak melebihi 2.5 hektar, digalakkan membuat permohonan segera serta mengemaskini maklumat di pejabat RISDA di seluruh negara, sebelum 15 Disember ini.

“Inisiatif ini sebahagian usaha membantu pekebun kecil dan penoreh getah mengharungi cabaran pada musim tengkujuh.

“Peruntukan BMT akan diteruskan dalam belanjawan 2020 dengan RM200 juta disalurkan kepada pekebun kecil RISDA serta pekebun kecil di bawah Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS),” katanya hari ini.

Azmin berkata, bantuan yang diperkenalkan sejak tahun lalu itu, bertujuan mengurangkan beban pekebun kecil dan mengimbangi kos sara hidup harian ketika berdepan musim tengkujuh yang menyebabkan penurunan produktiviti komoditi getah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 7:50 PM