Majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama disifatkan tidak melanggar disiplin parti. FOTO Zulfadhli Zulkifli
BERNAMA

MAJLIS makan malam bertemakan Wawasan Kemakmuran Bersama yang dihadiri beberapa pemimpin PKR semalam tidak melanggar disiplin parti, cuma isi kandungan ucapannya dikhuatiri berbaur fitnah, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya baru tahu semalam perjumpaan Wawasan Kemakmuran Bersama, jadi kita bersangka baik. “Barangkali itu pendekatan untuk menerangkan bagaimana mendekatkan jurang ekonomi penduduk bandar dan luar bandar,” katanya.

Beliau merujuk kepada majlis makan malam di sebuah hotel di Kuala Lumpur semalam yang dihadiri beberapa pemimpin PKR antaranya Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin.

Program itu berlangsung beberapa jam selepas Mohamed Azmin dan beberapa penyokongnya tidak hadir pada hari terakhir Kongres Nasional PKR di Melaka yang ditutup presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, adalah lebih molek ucapan pemimpin parti disampaikan pada sesi penggulungan kongres nasional semalam kerana ia adalah platform terbaik menyuarakan pandangan perwakilan.

“Tindakan yang kurang manis adalah tidak hadir ketika penggulungan tetapi membuka platform lain untuk menjawab.

“Sebab itu, dalam kongres hari akhir adalah hari menggulung. Di situlah yang paling manis mana-mana pemimpin diberi peluang untuk membuat penggulungan. “Itulah rukun dan tertib dalam mana-mana organisasi yang baik,” katanya ditemui selepas perhimpunan bulanan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, anggota parti boleh membuat penilaian sendiri mengenai intipati ucapan yang disampaikan pada majlis makan malam itu kerana PKR adalah sebuah parti yang sudah matang.

Ditanya sama ada pemimpin tertentu perlu dipanggil bagi memberi penjelasan atau dikenakan tindakan, Saifuddin Nasution berkata:

“Itu terpulang kepada mana-mana anggota, kalau perlu mereka buat, mereka buatlah.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Disember 2019 @ 8:07 PM